
Seorang wanita berusia 37 tahun ditemukan maut dipercayai lemas dalam kejadian banjir di Penampang pagi ini.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan.
Tambah beliau, mangsa dijumpai kira-kira 500 meter dari tempat dia dihanyutkan arus deras itu.
"Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada 6 pagi tadi yang melibatkan dua pegawai dan empat anggota polis, tujuh pegawai dan 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta 10 anggota bomba.
"Mayat mangsa ditemukan tersangkut di pagar dan pokok bunga," katanya kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang di sini hari ini.
Banjir yang dipercayai berlaku akibat hujan lebat berterusan tengah hari semalam hingga malam tadi menyebabkan 112 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang pagi ini.
Sumber: Astro Awani